Assalamualaikum..
Jarang aku harap entry aku dibaca orang, tapi sejak dua menjak ni, banyak benda yang kadang tak mampu aku luah dengan kata2 dan aku sangat harap ada yang punya masa untuk jengah blog aku, sudi baca bait kata hati aku walau aku tahu kadang tak bermakna sekelumit pun buat yang membaca. Jujur aku cakap yang tahun ini tak bermula dengan baik, walau setiap semangat aku dah kumpul, setiap persediaan aku dah buat, tapi takdir tuhan, siapa aku untuk tolak. Mungkin sesuatu yang aku anggap sebesar-besar ujian ini, yang payah untuk aku harungi ni sebenarnya punya sebesar-besar hikmah di penghujung jalan yang menjadi cahaya menyuluh jalan ke arah satu permulaan kepada satu pembaharuan yang bermakna dalam diri aku.
Mungkin Allah nak ajar aku untuk belajar berdiri atas kaki sendiri, mungkin Dia nak ajar aku untuk berhenti bergantung pada orang lain, dan mungkin Dia nak aku tahu yang bahagia itu perlu datang dari diri sendiri sebenarnya. Aku tahu tahun ini takkan sama, lain yang macam mana, tak tercapai akal aku untuk fikir. Mula nya aku rasa macam biasa, tapi perlahan-lahan aku rasa jarak tu makin jauh, aku rasa gelak tawa tu sayup-sayup kedengaran dan bukan sekuat yang dulu lagi, aku rasa senyum tu semakin pudar dan bicara antara kita semua semakin hilang ditelan masa. Baru tahun 3, belum masuk clinical pun lagi, tapi sunyi tu dah terasa, sibuk dek hal belajar tu semakin menyesakkan ketika dan tipu kalau kata aku tak rindu, tipu kalau aku kata aku tak nak kita macam dulu, tapi siapa aku nak ubah semua ni kalau ini takdir yang terbaik dari Tuhan.
Ke hadapan korang yang aku sayangi,
Aku nak korang tahu yang aku tahu yang aku takkan pernah faham apa korang rasa, aku takkan pernah tahu apa korang alami, aku takkan pernah rasa peritnya korang menelan segala duka, menyimpan segala hiba, mengumpul sisa semangat untuk bangkit kembali, aku takkan pernah faham semua tu sebab aku tak berada kat tempat korang. Dan aku tak boleh nak salahkan korang kalau korang pilih untuk menjauh dari kami, untuk menghambur amarah pada kami walau aku tak pernah tahu apa salahnya kami. Tapi untuk korang seolah-olah memutus ikatan persahabatan yang pernah kita jalin, untuk melebur segala memori suka duka yang aku rasa cukup bermakna dalam hidup aku, itu cukup buat aku terasa. Cukup untuk buat aku kadang berfikir salah siapa sebenarnya, Aku yang emosi tak memahami atau korang yang perlukan masa?
Sakit sebenarnya bila senyum tak berbalas, teguran dijawab hambar, gelak tawa seolah palsu sedangkan dulu hingga ke dinihari kita berbalas kata. Sedih sebenarnya kalau kau ucap senior pada kami seolah kau memutus untuk pergi jauh dari kami, menjarak diri dari kami. Kadang cemburu bila kau lebih bahagia bersama mereka, aku tahu tak patut aku rasa begitu tapi aku nak korang tahu apa yang aku rasa. Baru sebulan tapi ikatan tu semakin lama semakin dimamah dek masa, semakin lama semakin tipis tali yang menjalinkan dan aku takut sebab aku tahu yang tak mustahil satu hari nanti mungkin akan terputus terus hingga tak mampu sambung kembali.
Aku mulakan hidup medik aku dengan satu azam untuk detach diri aku dari rapat dengan sesiapa pun, untuk tak terlalu rapat supaya aku tak perlu ulang episod perit duka yang aku pernah alami dulu. Tapi korang buat aku attach pada setiap memori kita sehingga aku susah untuk lepaskan, sehingga aku susah untuk berjalan pergi dari persahabatan ini, sehingga aku rasa payahnya untuk berdiri tanpa sokongan korang di sisi. Mungkin ini masa untuk aku ajar diri aku kembali supaya yang datang mungkin akan pergi, untuk hidup sendiri tanpa bergantung pada sesiapa pun.
Aku sayang korang. Walau perjalanan kita tak lagi sama, aku nak korang tahu aku hargai setiap detik hadirnya korang dalam hidup aku. Terima kasih untuk setiap tunjuk ajar, setiap nasihat, setiap memori, setiap kata yang menjadi pedoman, terima kasih sudi terima aku seadanya dalam hidup korang, maaf aku bukan lah teman yang baik, aku bukan lah rakan yang menyenangkan, dan mungkin aku datang sebagai ujian yang menyusahkan buat korang. Terima kasih kerana sudi bersabar dengan aku. Aku sentiasa doa kebahagiaan kejayaan korang dunia akhirat, dan semoga persahabatan kita akan kembali berseri macam dulu, kembali indah seperti yang aku pernah impi. Dan aku juga mohon doa dari korang untuk kebahagiaan kejayaan dunia akhirat. Walau apa sekali pun yang terjadi, aku nak korang tahu korang tetap sahabat aku dunia akhirat untuk selamanya.
No comments:
Post a Comment